Saturday, June 6, 2009

10 TANDA-TANDA KIAMAT YANG BESAR

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".

(H.R Muslimi)

Keterangan
Sepuluh tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah saw. dalam hadis ini adalah tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat. Sepuluh tanda itu ialah:

1.Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir

2.Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.

3.Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.

4.Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.

5.Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.

6.Keluarnya bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.

7.Gempa bumi di Timur.

8.Gempa bumi di Barat.

9.Gempa bumi di Semenanjung Arab.

10.Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.

Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: "Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah Saw. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah belian turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda qiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa qiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya".

Sunday, May 31, 2009

BUDAYA UKHUWAH LANDASAN ERATKAN PERPADUAN UMAT ISLAM

CIRI utama ibadat dalam Islam berpaksikan ukhuwah dan persaudaraan. Kewajipan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji antara lain membina ukhuwah serta perpaduan.
Justeru, Allah mengisyaratkan setiap mukmin adalah bersaudara seperti firman Allah bermaksud: “Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Orang beriman diikat oleh tali kekeluargaan seagama, satu ikatan yang mengatasi hubungan darah dan keluarga. Mereka berkewajipan memelihara persaudaraan dengan saling menghormati, bekerjasama dan membantu dalam kehidupan seharian.
Inilah ciri persaudaraan Islam unggul dibina Nabi SAW ketika berhijrah ke Madinah.

Persaudaraan berasaskan akidah itu berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai pegangan agama dan kabilah.

Sejarah mencatatkan kehebatan tahap persaudaraan ketika itu antara Ansar dan Muhajirin. Dinyatakan keluarga Ansar yang memiliki dua pakaian memberikan sehelai kepada saudaranya daripada golongan Muhajirin.

Mereka yang memiliki dua rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin dan mereka mempunyai dua bidang tanah, sebidang diwakafkan kepada Muhajirin. Demikianlah tingginya tahap persaudaraan dan kasih sayang yang dihayati masyarakat Islam pada zaman Nabi SAW.

Sesungguhnya persaudaraan Islam yang bercirikan roh kekeluargaan dan semangat kekitaan semakin berkurangan, malah ada sesetengah keluarga tidak mengenali saudaranya serta jarang berjumpa.

Sesetengah jiran tetangga pula tidak mengenali dan bertegur sapa dengan jiran, peniaga memeras pengguna, majikan mengabaikan kebajikan pekerja atau fakir dan miskin yang lemah tidak dipedulikan golongan berada.

fenomena hasad dengki, khianat, dendam dan buruk sangka berleluasa dalam masyarakat. Dalam perkembangan semasa, apa yang membimbangkan lagi ialah berlaku permusuhan dan perbalahan di kalangan pemimpin serta pengikut parti politik yang pasti mengancam kekuatan dan kedaulatan umat.

Persoalan besar timbul dan terus menjadi tanda tanya ialah mengapa umat Islam terus berpecah walaupun kekuasaan kita semakin mengecil? Antara sebabnya ialah pegangan akidah dan takwa umat Islam sedang dilanda krisis.

Kehidupan harian sebahagian umat Islam tidak dikuasai iman dan akhlak, tetapi dipengaruhi nafsu yang mengutamakan kepentingan peribadi, bukan kepentingan agama, masyarakat dan negara.

Menangani permasalahan membimbangkan ini, segenap lapisan masyarakat Islam diseru menghayati budaya ukhuwah dan perpaduan dengan kaedah digariskan Allah antaranya:
l Mengikis perbuatan saling mencaci, mengeji, mengadu domba dan berprasangka buruk antara satu sama lain yang menjadi punca perselisihan dan perbalahan.

ni selaras dengan perintah Allah dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman! Jangan sesuatu puak merendahkan puak lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula wanita ke atas wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan jangan kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amat buruk sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Sesiapa tidak bertaubat, maka merekalah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

l Memastikan hak sosioekonomi dan politik dalam masyarakat dipenuhi dengan adil serta saksama. Hindari diskriminasi dalam apa juga aspek menyentuh kepentingan individu.

Dengan terlaksana keadilan, timbul kepuasan mewujudkan persefahaman, penghormatan dan kerjasama yang sekali gus mengukuhkan perpaduan. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8)

l Setiap individu perlu menjadi anggota masyarakat yang berfikiran positif iaitu bersedia bekerjasama dan saling membantu dalam apa juga kebajikan dilakukan oleh sesiapa saja selagi kegiatan itu berlandaskan tuntutan syarak, berkebajikan dan mendatangkan maslahah umat.

Hindari sikap ego atau fanatik kepada fahaman sendiri serta serba tidak kena dengan pendapat dan usaha orang lain. Mari kita ambil iktibar dan cermin diri pada masa ini ada tanda kekuatan politik umat Islam semakin lemah, penguasaan ekonomi juga tertinggal di belakang kaum lain dan kualiti sosial umat merosot.

Oleh itu, kita tiada pilihan kecuali kembali bersatu menguatkan persaudaraan berdasarkan ketaatan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Friday, May 29, 2009

TABIAT KE MASJID PATUT DIBIASAKAN SEJAK USIA MUDA

PERSEPSI yang bertapak di minda masyarakat bahawa masjid hanya tempat bagi mereka berkelapangan, orang tua yang bersara atau yang alim ilmu keagamaan, persepsi jumud yang tidak harus wujud pada zaman ketandusan aspek nilai murni hidup bermasyarakat.

Betapa besar ganjaran bagi mereka yang memakmurkan masjid dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, namun ada golongan masih sukar diikat hatinya untuk hadir ke rumah Allah.

Masjid ialah institusi yang bukan saja penting bagi umat Islam untuk tujuan ibadat malah, menjadi pusat percambahan dan pengembangan ilmu pengetahuan, penyatuan perpaduan masyarakat, tempat mencari ketenangan jiwa dan suatu masa dulu sebagai tempat mesyuarat dan penstrukturan pentadbiran kerajaan.

Pembinaan Masjid Quba, ketika hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah antara program awal dalam kerangka kronologi peristiwa agung hijrah membuktikan pentingnya masjid dalam pembentukan kerajaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga masjid. Masjidku ini (Masjid Nabi), Masjidilharam dan Masjidilaqsa. Aku juga pernah mendengar Baginda bersabda: Janganlah seseorang wanita musafir selama dua hari melainkan bersama mahram atau suaminya.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengimarahkan masjid harus menjadi tanggungjawab setiap Muslim merentas sempadan usia, bangsa, warna kulit dan tidak mengira masa. Masjid tidak hanya dipenuhi pada Jumaat atau Ramadan dan hari raya.

Paradigma sesetengah kita masjid tempat bagi ulama saja suatu yang perlu diubah. Persepsi salah masjid hanya tempat mereka yang pencen wajar ditepis. selaras hadis Baginda SAW yang menggesa umatnya merebut peluang masa muda sebelum tua dan masa sihat sebelum sakit.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Ketika usia muda biasanya kesihatan lebih baik berbanding apabila umur meningkat yang sering uzur seperti sakit sendi, lenguh otot, cepat penat, letih, termasuk kurangnya penglihatan serta pendengaran untuk menangkap kandungan program ilmu yang disampaikan.

Bagi menjadikan perkara yang baik itu tabiat, ia memerlukan proses membiasakan diri seperti kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tarbiah dianjurkan sepanjang Ramadan harus menjadi motivasi yang cukup untuk menjadikan seseorang menggantungkan hatinya di masjid.

Anak harus dibiasakan sejak kecil berjinak dengan masjid. Mungkin pada peringkat awal, mereka diajak bersolat waktu saja dan lama-kelamaan apabila rasa cinta sudah berputik, masa di masjid boleh dipanjangkan untuk mengikuti kuliah dan majlis ilmu.

Mungkin ada juga yang berpandangan tidak semestinya orang selalu ke masjid baik atau mereka yang sentiasa bersolat di rumah lebih khusyuk dan ikhlas, selaras dengan keutamaan untuk menjaga hati terutama dalam hal ibadah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanya orang yang beriman kepada-Nya dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun), kecuali Allah. Maka, mudah-mudahan mereka termasuk orang yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Pihak pengurusan masjid perlu sentiasa proaktif mencari idea dan membuat perancangan program untuk menarik masyarakat menjinakkan hati mereka yang lebih muda untuk ke masjid.

Selain mewujudkan suasana beribadah yang kondusif dari segi penjagaan kebersihan, pelbagai program perlu diatur untuk mencapai objektif menjadikan masjid sebagai rumah kedua.

Program sukan misalnya, boleh distrukturkan bersesuaian dengan matlamat menjemput golongan lebih muda dan aktif supaya turut sama menjayakan program mengimarahkan masjid.
Majlis ilmu yang dianjurkan harus dapat menarik perhatian pelbagai lapisan usia dan kelas pengajian tidak harus fokus kepada satu golongan saja.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya mencadangkan pekarangan masjid dilengkapi gelanggang sukan dan landskapnya diperindahkan. Kawasan masjid yang lapang harus dimanfaatkan.

Sesungguhnya amat bertuah jika program dianjurkan masjid dihadiri mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki sebelum ini dan lebih bertuah jika impak program itu menjadikan mereka pengunjung tetap masjid selepas itu.

Malang jika kali pertama mereka yang mula menjinakkan diri ke masjid mengambil keputusan sebaliknya hanya disebabkan faktor yang menjatuhkan imej sesebuah masjid disebabkan tidak peka kepada keperluan jemaah.

Golongan yang mula menjinakkan hati ke masjid wajar diberi sokongan tanpa mengira latar belakang, cara berpakaian asalkan menutup aurat, teguran penuh berhikmah jika ada kesilapan dilakukan sewaktu beribadah.

Kritikan secara terbuka atau dengan cara memberitahu orang lain kesilapan jemaah baru boleh mengakibatkan malu pada diri dan akhirnya itulah kali pertama yang menjadi kali terakhir mereka singgah bersolat di masjid.

Selain usaha memupuk kesedaran dalam diri sendiri, sokongan masyarakat sekitar tidak boleh dinafikan kepentingannya. Justeru, kehadiran di masjid patut diraikan setiap yang ada supaya matlamat mencari keredaan serta rahmat dapat dicapai.

Masjid adalah kunci kerahmatan, pintu perpaduan, ada semangat persaudaraan dan ia ditinggikan martabatnya sebagai tempat paling mulia di bumi sebagai rumah Allah. Tidak hadirkah rasa mulia di hati kita untuk menjadi tetamu-Nya?

TEGUR,NASIHAT HINDAR DIRI DARIPADA SIFAT MUNAFIK

GOLONGAN munafik sudah wujud sewaktu hayat Rasulullah SAW lagi. Istilah itu digunakan bagi merujuk kepada golongan yang hanya berpura-pura mengikuti ajaran Islam, tetapi hakikatnya mereka tidak mengakui atau ragu-ragu terhadap kebenaran Islam dalam hati.
Firman Allah yang bermaksud: “Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah.

Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” - (Surah al-Munafiqun, ayat 1)
Begitulah Allah menerangkan dengan jelas perihal orang munafik dalam al-Quran sehingga Allah menamakan satu surah iaitu al-Munafiqun bagi menggambarkan betapa bahayanya sifat munafik terhadap agama Islam.

Pada zaman Rasulullah SAW, perihal orang munafik itu lebih jelas apabila Baginda memerintahkan Muslimin untuk keluar berjihad di jalan Allah, maka golongan munafik akan segera berdolak-dalih dan memberi 1001 alasan bagi mengecualikan diri keluar berperang menentang Musyrikin ketika itu.

Allah merakamkan keadaan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan orang munafik yang dikatakan kepada mereka: Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu). Mereka menjawab: Jika kami mengetahui bagaimana hendak berperang, tentulah kami mengikut kamu (turut berperang).” - (Surah Ali-Imran, ayat 167)
Ulama mengkelaskan golongan munafik kepada dua keadaan. Pertamanya, munafik I’tiqadi iaitu yang berkaitan dengan kepercayaan dalam hati. Mereka itu terdiri daripada golongan yang hanya beriman kepada Allah secara luaran saja.

Hakikatnya mereka ragu dengan kebenaran Islam dan keesaan Allah. Mereka hanya berlakon di khalayak ramai, tetapi sebenarnya mendustakan agama Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami sudah beriman kepada Allah dan hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” - (Surah al-Baqarah, ayat 8)

Hakikatnya, golongan itu sudah terkeluar daripada agama Allah kerana niat di hati memainkan peranan penting dalam soal akidah dan dikira sebagai penentu hakiki kepada keimanan seseorang di sisi Allah.

Golongan itu akan dimasukkan ke tingkatan neraka paling bawah. Sesuai dengan penipuan dan kezaliman dilakukan terhadap diri mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka.” - (Surah an-Nisa’, ayat 145)

Keadaan kedua disebut munafik ‘Amali iaitu berkaitan perbuatan. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” - (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas kepada kita ada perbuatan tertentu yang jika dilakukan, maka ia termasuk dalam golongan munafik. Sebagai manusia yang secara fitrahnya tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan, sudah tentu saban hari kita menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah.

Persoalannya, adakah kita melakukan perbuatan itu dengan cara yang betul dan menurut kehendak Islam? Ataupun kita melakukan perbuatan itu mengikut cara orang munafik melakukannya?

Persoalan itu hanya mampu dijawab dengan jawapan positif bagi mereka yang memiliki iman kukuh dalam diri. Walaupun jika dilihat secara rambang, kesemua perbuatan itu tidaklah sebesar dosa membunuh, berzina, mencuri atau minum arak tetapi dengan mengamalkannya sudah cukup untuk melayakkan diri menerima azab seksa-Nya di akhirat kelak.

Sebagai Muslim yang berusaha sedaya upaya untuk menjadi hamba sentiasa mendapat keredaan Allah, tidak boleh tidak, semua sifat dan perbuatan yang melambangkan perihal orang munafik mestilah dihindari untuk menyelamatkan diri daripada menerima kemurkaan Allah.
Antara lain, dengan muhasabah diri kerana dengan itu kita akan lebih berwaspada terhadap setiap tingkah laku dan gerak-geri. Bermuhasabah juga, membolehkan kita memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri.

Kadang-kadang kita tidak sedar perbuatan itu melampaui batas ditetapkan agama. Muhasabah diri menyedarkan seseorang mengenai perbuatan yang dilakukan dan setiap amalan tidak terlepas daripada timbangan neraca Allah di akhirat kelak.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” - (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)

Saidina Umar al-Khattab pula pernah berkata yang maksudnya: “Hisablah (nilai) diri kamu, sebelum kamu dihisab (pada hari akhirat kelak).”

Selain bermuhasabah yang bergantung seratus peratus pada usaha sendiri, sebagai Muslim yang mencintai saudaranya, amalan saling memberi nasihat dan teguran juga boleh menghindarkan diri daripada sifat munafik yang tercela itu.

Ada kala perbuatan kita di luar kawalan atau tanpa kita sedari. Justeru, peranan orang di sekeliling yang menyedari akan hal itu dapat membantu kita daripada terus hanyut di bawa arus pembohongan, pendustaan dan pengkhianatan atau pecah amanah.

Sesungguhnya, amalan memberi nasihat dan teguran inilah yang menjadi tuntutan Islam, sesuai sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Agama itu nasihat.” - (Hadis riwayat Muslim)

Allah juga mengingatkan pentingnya sentiasa memberi peringatan yang sememangnya akan membawa kebaikan kepada ummah secara keseluruhannya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” - (Surah az-Dzariyat, ayat 55)

Marilah sama-sama berusaha sedaya upaya untuk sentiasa menjauhi sifat golongan munafik. Jangan jadikan pembohongan, mungkir janji dan khianat atau pecah amanah satu perlakuan biasa tanpa ada rasa bersalah dan takutkan azab yang sentiasa menunggu bagi mereka yang tidak menyesali segala perbuatan jahat dilakukan.

Iltizam yang kuat dalam diri di samping bantuan sesama Muslim penting bagi memelihara diri daripada sifat golongan munafik itu. Sesuai sabda Rasulullah SAW yang menerapkan semangat kasih sayang sesama Muslim supaya orang Islam sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya, seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Saturday, May 23, 2009

SEBELUM KAMU MENGELUH

Sebelum Kamu Mengeluh...
Hari ini sebelum kamu mengatakan kata-kata yang tidak baik,
pikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berbicara sama sekali
Sebelum kamu mengeluh tentang rasa dari makananmu,
pikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.
Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
pikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kamu mengeluh bahwa kamu buruk,
pikirkan tentang seseorang yang berada pada tingkat yang terburuk didalam hidupnya.
Sebelum kamu mengeluh tentang suami atau istri anda,
pikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup
Hari ini sebelum kamu mengeluh tentang hidupmu,
pikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat
Sebelum kamu mengeluh tentang anak-anakmu,
pikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul

Sebelum kamu mengeluh tentang rumahmu yang kotor karena pembantumu tidak mengerjakan tugasnya,
pikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan
Sebelum kamu mengeluh tentang jauhnya kamu telah menyetir,
pikirkan tentang seseorang yang menempuh jarak yang sama dengan berjalan
Dan disaat kamu lelah dan mengeluh tentang pekerjaanmu,
pikirkan tentang pengangguran,orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti anda

Sebelum kamu menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
ingatlah bahwa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa...
Kita semua menjawab kepada Tuhan dan ketika kamu sedang bersedih dan hidupmu dalam kesusahan,
tersenyum dan mengucap syukurlah kepada Tuhan bahwa kamu masih hidup!

Life is a gift
Live it...
Enjoy it...
Celebrate it...
And fulfill it.

Cintai orang lain dengan perkataan dan perbuatanmu
Cinta diciptakan tidak untuk disimpan atau disembunyikan
Anda tidak mencintai seseorang karena dia cantik atau tampan,
Mereka cantik/tampan karena anda mencintainya....
Kamu tidak tahu apa yang telah kamu dapatkan sampai semua hal itu lenyap
Kamu tidak tahu apa yang telah hilang dalam hidupmu sampai sesuatu itu datang kepadamu.